IPOH: Video yang memaparkan air hujan bertakung pada atas permukaan bumbung berkanvas di Gerbang Malam dekat sini yang tular di media sosial baru-baru ini merupakan video lama.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memaklumkan, kejadian tersebut berlaku ketika kerja-kerja pemasangan bumbung pada bazar berkenaan sedang berjalan, dua bulan lalu.

Menurutnya, air hujan yang bertakung pada permukaan bumbung kanvas itu disebabkan keadaan hujan lebat pada hari sebelumnya, selain struktur bumbung pada ketika itu belum direnggangkan.

Namun, katanya, pihak kontraktor telah melaksanakan kerja-kerja pembuangan air hujan bertakung itu pada hari yang sama.

“Kejadian itu berlaku sekali sahaja, semasa bumbung kanopi tersebut belum diregangkan. Apabila bumbung telah diregangkan, tiada lagi takungan air berlaku hingga kini, walaupun berlaku hujan lebat.

“Pemasangan bumbung ini masih dalam tempoh tanggungan kecacatan oleh pihak kontraktor. Sebarang isu berbangkit, sekiranya ada, akan diselesaikan oleh pihak kontraktor.

“Bagaimanapun, tiada lagi isu takungan air berlaku selepas pemasangan bumbung ini siap,” kata MBI dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, ia menegaskan, tiada kesilapan berlaku sepanjang tempoh bagi kerja-kerja pemasangan bumbung di Gerbang Malam mahupun berkaitan reka bentuknya. 

Baru-baru ini tular satu laman di Facebook yang memuat naik video memaparkan insiden air hujan bertakung pada struktur bumbung di Gerbang Malam.

Dalam video berdurasi 33 saat itu, kelihatan kerja-kerja pembuangan air berkenaan sedang dilakukan selain seorang lelaki dipercayai peniaga menyuarakan kekesalan atas kejadian tersebut.